Friday, June 17, 2011

Penggodam Web Sudah Dikenalpasti : Lucut Kewarganegaraan!!



Laman web kembali beroperasi, tiada data milik kerajaan hilang atau rosak

KUALA LUMPUR: CyberSecurity Malaysia sudah mengenalpasti pihak bertanggungjawab menggodam laman web kerajaan dan swasta, sejak beberapa hari lalu. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Leftenan Kolonel (B) Datuk Husin Jazri yang enggan mendedahkan maklumat lanjut berkata, ia hasil kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).Beliau berkata, sehingga kini serangan penggodam masih lagi berlaku tetapi semakin berkurangan berbanding kelmarin.

“Kebanyakan laman web yang digodam kembali beroperasi dan hanya segelintir yang masih belum pulih. Bagaimanapun, portal kerajaan www.malaysia.gov.my sudah beroperasi seperti biasa,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam. Kelmarin, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mendedahkan sebanyak 61 laman web dengan domain gov.my diserang sejak 11.30 malam Rabu lalu, menyebabkan 41 daripadanya mengalami gangguan pada tahap berbeza.

Serangan itu dikesan lebih awal daripada ancaman sekumpulan penggodam antarabangsa yang menggelar diri mereka ‘Anonymous’ untuk menyerang portal kerajaan www.malaysia.gov.my melalui ‘Operation Malaysia’ pada jam 3.30 pagi, kelmarin.
Mengulas lanjut Husin, berkata setakat ini, tiada maklumat atau data milik kerajaan hilang dan dirosakkan oleh penggodam.

Beliau berkata, maklumat lanjut mengenai serangan penggodam hanya boleh diperoleh selepas ia dihentikan dan siasatan serta ‘post mortem’ dilakukan pihaknya. Sehubungan itu, beliau menasihati semua pemilik sistem berwaspada bagi memastikan keselamatan laman web mereka. Sementara itu, pada sidang media di Angkasapuri, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata siasatan awal mendapati 90 peratus serangan dilakukan penggodam tempatan.

Beliau berkata, serangan itu menyusahkan rakyat dan seolah-olah mempunyai kaitan politik serta Perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH). Beliau berkata, daripada 198 laman web di negara ini yang digodam sejak tengah malam Rabu lalu, 60 milik kerajaan dan agensinya. “Sebahagian besar laman web itu sudah dipulihkan. Kerajaan mahu Jabatan Peguam Negara, SKMM dan agensi lain bekerjasama bagi memudahkan pengumpulan bukti mendakwa pihak bertanggungjawab,” katanya. Sementara itu, Exco Kerajaan Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin, berkata rakyat tempatan yang dikenal pasti terbabit menggodam laman web kerajaan, dilabel sebagai penderhaka negara kerana tindakan mereka bermatlamat menghancurkan kerajaan.

Katanya, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan terhadap pihak terbabit termasuk melucutkan taraf kewarganegaraan jika terbukti mereka melakukan perbuatan yang boleh dianggap tindakan subversif. “Mereka yang melakukannya boleh dianggap menderhaka kerana berniat menghancurkan negara,” katanya selepas mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir merasmikan Program Kecemerlangan Pelajar Sekolah Daerah Manjung, di Lumut, semalam.

Sumber : Berita Harian Online

P/S : Macam - macam cerita...baik guna kepakaran penggodam ni untuk kepentingan negara..isu ni tak tahu la sampai bila akan berakhir...janji hepi..weeeeeeee~

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Daisypath Happy Birthday tickers