Sunday, June 19, 2011

Perlawanan Persahabatan : Malaysia Benam Myanmar 2 - 0



PERCUBAAN Baddrol (depan) berjaya dihalang pemain pertahanan Myanmar dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Sultan Mohamad ke IV, Kota Bharu, malam tadi.

SKUAD Harimau Malaya memperoleh tonik mujarab menjelang pertembungan penting kelayakan Piala Dunia zon Asia menentang Taiwan selepas berjaya menjinakkan Myanmar 2-0 dalam siri persahabatan antarabangsa yang julung kali diadakan di Stadium Sultan Mohamad IV, malam tadi. Dua gol pada setiap babak permainan daripada Mohd Amirulhadi Zainal dan Baddrol Bakhtiar mengesahkan kemenangan penting buat anak didik Datuk K Rajagobal yang beraksi di padang becak gara-gara hujan lebat sebelum perlawanan itu.

Walaupun tanpa kelibat beberapa pemain kebangsaan antaranya - dua penyerang prolifik, Safee Sali yang mempunyai komitmen bersama kelab Pelita Jaya dan Norshahrul Idlan Talaha yang mengalami kecederaan, skuad senior negara tidak banyak berdepan masalah.

Separuh masa pertama bermula rancak dengan Myanmar nyaris mengejutkan tuan rumah apabila dua serangan pada minit ke-7 dan 23 menerusi Kyi Lin dan David Htan hampir merobek gawang Malaysia ketika penjaga gol Malaysia, Mohd Sharbinee Allawee gagal mengawal kemas bola namun dapat diselamatkan pertahanan negara. 

Begitupun, menerusi satu serangan pantas, penyerang Selangor, Amirulhadi berjaya meledak gol pertama negara pada minit ke-27 selepas mudah merembat menewaskan penjaga gol, Kyaw Zin Htet yang berpunca kesilapan pertahanan lawan yang menanduk hantaran melambung Baddrol daripada sebelah kanan. 

Selepas rehat, Myanmar yang dilatih Milan Zivadinovic tersentak dengan gol kedua pada minit ke-55 apabila bola melintang hantaran Abdul Hadi Yahya di luar penalti Myanmar gagal dikeluarkan dengan kemas pemain pertahanan lawan. Ia disambut Baddrol yang merembat kemas ke penjuru kanan gawang menewaskan Zin Htet. Perlawanan persahabatan ini penting buat barisan negara yang menjadi aksi pemanas badan terakhir sebelum menentang Taiwan di Stadium Nasional Bukit Jalil, 29 Jun ini.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...