Friday, June 24, 2011

Malaysia Pasukan Tunggal Rantau Ini Ke Kelayakan Akhir Olimpik 2012



KUALA LUMPUR - Kejayaan skuad negara menumpaskan Lebanon 2-1 pada perlawanan kedua pusingan kedua kelayakan Olimpik 2012 London di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin membuktikan Malaysia bukanlah calang-calang pasukan apabila tersenarai sebagai 12 terbaik peringkat Asia untuk layak ke temasya berprestij itu.

Jurulatih skuad Olimpik negara Ong Kim Swee, berkata permainan pasukan itu semakin matang dan mempunyai komitmen tinggi apabila mampu menahan asakan lawan, walaupun terpaksa bermain dengan hanya sepuluh orang pada awal babak kedua perlawanan.

"Saya berpuas hati dengan mutu persembahan yang telah dibuktikan oleh setiap pemain dalam mengekang asakan lawan berbaki 40 minit perlawanan.

"Sebagai jurulatih, saya kagum dengan peningkatan corak pemain muda dan ia adalah petunjuk bahawa kita telah bersedia untuk mara ke saingan peringkat ketiga nanti, iaitu pada September ini," katanya.

Pada perlawanan kelmarin, skuad bimbingan Kim Swee berjaya mara ke pusingan ketiga kelayakan Olimpik 2012, dengan kelebihan agregat 2-1.

Pada perlawanan Ahad lepas di Stadium Sport City, Beirut, skuad negara terikat dengan keputusan seri tanpa jaringan kepada pasukan tuan rumah.

Undian pusingan ketiga dijadualkan pada bulan depan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Kim Swee berkata, kunci utama kejayaan malam ini (kelmarin) adalah disiplin semua pemain yang begitu bersemangat dan berkeyakinan, sehingga dapat memanipulasi perlawanan.

"Walaupun Gary Steven Robbat diarah keluar padang pada awal babak kedua, namun ia tidak menjejaskan corak permainan.

"Saya harap Gary akan mendapat pengajaran bermain dalam perlawanan antarabangsa dan keseluruhan pemain perlu mengambil iktibar dan lebih berhati-hati pada perlawanan pusingan ketiga nanti," katanya.

Skuad negara terpaksa bermain dengan 10 pemain setelah Gary diperintah keluar padang kerana menerima kad kuning kedua gara-gara mengasari pemain lawan selang enam minit babak kedua bermula.


P/S : Rasa bangga apabila Malaysia layak ke Pusingan Kelayakan Olimpik London 2012 akan datang dalm sukan bola sepak..yalah sebelum ini kebolehan skuad kebangsaan ini sering diperlekehkan oleh banyak pihak namun kejayaan mereka menjulang nama Asia Tenggara dalam arena bola sepak ini ternyata patut diambil perhatian dan diberikan pujian..tap ingat jangan sampai alpa dengan kejayaan ini kerana cabaran yang lebih besar menanti mereka di Olimpik 2012... (teringin nak tengok pasukan Malaysia beraksi di Piala Dunia akan datang pula..bila agaknya detik itu bakal tiba?menanti dan menanti..) weeeeeeee~

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Daisypath Happy Birthday tickers