Monday, February 8, 2016

Ola Bola - Filem Malaysia Terbaik dan Wajib Tonton


Lama rasanya saya tak buat review filem dalam blog. Kali terakhir pun buat untuk filem "Hunger Game - Mockingjay Part 2" untuk filem Malaysia lagi lah entah pernah buat atau tidak sendiri pun tak ingat. Maaf bukan saya tidak menyokong mana mana produk tempatan terutama nya filem akan tetapi kebanyakan filem Malaysia yang sudah saya tonton amat mendukacitakan dan mengecewakan saya. Jadi hati ni dah lama tertutup nak menonton filem buatan Malaysia di pawagam.

Namun filem Ola Bola telah mengubah persepsi saya 100% terhadap "stereotyping" filem Malaysia yang mungkin akan berkata "alaaahhh..another Malay movie.." buang fikiran sebegitu jauh - jauh apabila anda menonton filem ini. Filem ini umpama memberikan sinar harapan untuk industri perfileman Malaysia. Cukup saya katakan filem ini sangat berinspirasi, bukan sekadar filem mengenai sukan bola sepak semata - mata namun menyentuh perasaan kita tentang pentingnya semangat setiakawan bekerja sebagai satu pasukan dan paling penting perpaduan serta warna kepelbagaian kaum yang ada di tanah tumpah darah kita Malaysia.  


Sinopsis filem ini berkisar seorang wartawan bernama Marianne yang ditugaskan untuk membuat kajian tentang pasukan bola sepak negara yang telah mencipta nama pada era 80-an dahulu yang mana ketika itu nama Malaysia dalam sukan bola sepak begitu digeruni oleh pasukan lawan khasnya di rantau Asia. Marianne mula merasa bosan dengan kerjayanya dan membuat keputusan untuk berhijrah ke England. Sebelum dia meninggalkan negara, dia membuat keputusan untuk menyiapkan tugasannya buat kali terakhir. Namun, dia menemui suatu perkara yang ternyata mengubah hidupnya.

Mengimbau kembali ketika di awal era 80-an, pasukan bola sepak negara ketika itu berdepan dengan cabaran apabila pemain-pemainnya mempunyai perbezaan pendapat dan tidak sehaluan sehingga menyebabkan kekalahan dalam perlawanan penting. Keadaan semakin rumit apabila hampir setiap pemain mempunyai isu dan masalah masing-masing. Walau bagaimanapun, mereka hanya mempunyai satu peluang untuk beraksi di persada mata dunia. Jadi, barisan pemain harus mengetepikan hal peribadi demi mengharumkan nama negara. Ketika semangat kembali menyemarak dalam diri, pasukan negara sekali lagi diduga dengan satu cabaran yang mematahkan semangat mereka dan harapan negara.


Ola Bola yang diilhamkan dari peristiwa sebenar ini akan membawa penonton dari pelbagai bangsa untuk sama-sama merasai semangat bersatu hati dan muhibah. Kisah yang penuh ikhtibar ini akan membawa penonton melihat semangat, keunikan dan kekuatan yang terdapat dalam kepelbagaian bangsa di Malaysia.

Tahniah diucapkan buat ASTRO Shaw dan pengarah filem ini Chiu Keng Guan (Pengarah bagi filem The Journey) bagi filem yang cukup hebat dari segi jalan cerita dan sinematografi yang sangat indah ini. Tahniah juga diucapkan buat barisan pelakon filem Ola Bola yang cukup berjaya dalam memainkan watak dan peranan masing - masing antaranya dibintangi oleh JC Chee, Luqman Hafidz, Saran Kumar Manokaran, Eric Yong, Marianne Tan, Katrina Ho, Bront Palarae, Frankie Lee dan ramai lagi. Biarpun mereka kebanyakannya adalah wajah - wajah baru dalam industri perfileman tempatan, namun impak lakonan mereka memberikan kesan yang sangat mendalam bagi setiap watak yang dibawakan.


Dengan ini saya memberikan 9 bintang daripada 10 untuk filem ini. Kepada sesiapa yang masih belum menonton anda sememangnya digalakkan untuk pergi menonton filem Ola Bola ini!!


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Daisypath Happy Birthday tickers