Thursday, August 11, 2011

Rusuhan London - Pelajar Malaysia Jadi Mangsa & Konflik Sementara UK


GELOMBANG keganasan dan kecurian di ibu kota London dilaporkan telah merebak ke tiga bandar utama lain di United Kingdom (UK).

Walaupun pihak berkuasa terus berusaha mengawalnya, rusuhan kali ini dianggap paling buruk sejak rusuhan 1980-an yang membakar hangus sebahagian besar London.

Keganasan bermula lewat hari Sabtu lalu di daerah Tottenham yang rata-rata berpendapatan rendah dan didiami pelbagai bangsa apabila orang ramai merusuh akibat marah dengan tindakan polis menembak mati seorang pemuda.

Mark Duggan, 29, bapa kepada empat orang anak ditembak mati dalam keadaan mencurigakan pada Khamis lepas sementara perbicaraan penuh mengenai pembunuhannya itu mungkin mengambil masa beberapa bulan lagi.

Kematian mangsa menimbulkan kembali permusuhan lama dan ketegangan antara kaum seperti yang berlaku sekitar 1980-an dahulu walaupun selepas pelbagai usaha kerajaan merapatkan hubungan komuniti berikutan beberapa kes perkauman berprofil tinggi.

Pasangan Duggan, Semone Wilson menegaskan tunangnya tidak terlibat dengan kumpulan jenayah seperti yang dicadangkan pihak polis tetapi menolak kaitan rusuhan tersebut dengan kematian bapa kepada anak-anaknya itu.

Kumpulan-kumpulan anak muda dilihat berterusan mengganas dengan membakar sampah, kereta dan bangunan; merompak kedai-kedai dan membaling botol serta mercun kepada anggota polis.

Situasi itu juga memberi gambaran buruk untuk nama London selaku tuan rumah Sukan Olimpik 2012 sehinggakan kereta perisai yang amat jarang digunakan telah dipanggil ke kawasan-kawasan paling teruk terjejas.

Polis yang tidak cukup kakitangan dalam mengawal huru-hara di London kini terpaksa berdepan dengan rusuhan yang mula merebak ke Birmingham, Bristol di sebelah barat dan Liverpool di barat laut UK.

Hakikatnya, tiada kaitan nyata yang menjadi punca rusuhan di empat bandar itu dengan sebilangan kecil perusuh mendakwa menentang langkah berjimat kerajaan termasuk membuang pekerja dan potongan faedah kebajikan.

Perusuh lain pula lebih tertarik dengan keganasan yang berlaku dan ingin turut serta memandangkan generasi muda London jarang atau tidak pernah melihat rusuhan dan keganasan.

Perdana Menteri, David Cameron terpaksa membatalkan percutian keluarganya di Itali lebih awal bagi mengetuai mesyuarat krisis yang bakal mencabar kerajaan campurannya itu.

Cameron menuntut tindak balas lebih tegas daripada pihak berkuasa terutamanya polis tetapi penduduk London sendiri merasakan bilangan anggota beruniform tidak mencukupi dalam mengawal rusuhan yang merebak dengan amat pantas.

Di sesetengah kawasan, perusuh bergerak bebas untuk merompak dan mencuri dari kedai atau kediaman penduduk kerana tiada langsung pihak berkuasa yang menghalang mereka.

Semua kedai dan restoran juga menutup operasi lebih awal kerana khuatir rusuhan akan merebak ke kawasan mereka.

Di daerah Croydon, London, seorang lelaki dilaporkan cedera parah akibat ditembak sementara sebuah kedai perabot berusia lebih 100 tahun hangus dibakar perusuh.

Perusuh yang licik mencuri topeng muka dari kedai kostum bagi menyorokkan identiti mereka daripada pihak berkuasa.

Ada di antara mereka menggunakan teknologi canggih telefon pintar dan Twitter untuk mengkoordinasi pergerakan rusuhan dan mengelakkan tindakan polis.

Terkini, pasukan bola sepak West Ham terpaksa membatalkan perlawanannya pada malam hari Selasa sebagai langkah berjaga-jaga.

Bagaimanapun, Persatuan Bola Sepak (FA) menegaskan perlawanan persahabatan antara England dan Belanda tetap akan diteruskan pada hari Rabu di Stadium Wembley.

Orang ramai yang ketakutan kini memanggil polis untuk menggunakan pancutan air untuk menyuraikan perusuh dan juga bantuan daripada pasukan tentera jika perlu di kawasan kejiranan mereka.

Kredibiliti kepimpinan tertinggi polis yang tercalar akibat skandal pencerobohan telefon sebelum ini semakin merudum di kalangan penduduk London sementara golongan muda dikatakan amat membenci pasukan keselamatan.

Beberapa rusuhan kecil dilaporkan pernah berlaku sebelum ini pada bulan Mac, Disember dan November lalu di kalangan belia yang marah dengan peningkatan yuran pendidikan dan potongan pencen.

Namun, rata-rata penduduk UK percaya rusuhan terbaru itu digunakan sebagai alasan untuk sebilangan golongan muda merompak dan mencuri di kedai dan pusat membeli belah.

Melihatkan rusuhan yang semakin merebak, bukan sahaja kemampuan pihak polis mula dipersoal malahan kesediaan London menganjurkan Sukan Olimpik 2012 juga mula diragui sesetengah pihak.

Lebih membimbangkan lagi jika rusuhan mula merebak ke bandar-bandar seluruh Eropah yang kini rata-rata rakyat dan golongan mudanya menghadapi tekanan kewangan.

Seperti mana beberapa kerajaan di Timur Tengah ditumbangkan kejadian kecil melibatkan seorang rakyat biasa, mungkinkah tiba masa sebuah kerajaan Eropah tumbang disebabkan kematian seorang bapa kepada empat anak kecil? - Agensi





Umum sedia maklum juga, ada pelajar Malaysia yang menuntut di sana bernama "Muhammad Asyraf Haziq Rosli" 20 yang mengambil jurusan akaun di bawah tajaan MARA turut menjadi mangsa rusuhan di London tersebut..berikut sedikit berita gembira buat beliau..

Walaupun berbeza latar belakang kaum, agama mahu pun warna kulit, warga London menunjukkan keprihatinan terhadap nasib malang yang menimpa penuntut Malaysia, Muhammad Asyraf Haziq Rosli, 20, yang disamun sehingga mengakibatkan rahangnya terpaksa dibedah Isnin lepas.

Seorang rakyat Malaysia yang bermastautin di London, Shahrul Muzammir Mohd Sahir berkata, satu laman web diwujudkan warga London.

Laman web yang beralamat http://somethingniceforashraf.tumblr.com/ itu direka oleh The Minimalist dan ia antara lain menggunakan tagline: 'Let's Do Something Nice For Ashraf Haziq'.

Beliau berkata, turut dipapar di laman web itu ialah video dari YouTube yang merakam detik-detik cemas ketika Asyraf disamun oleh beberapa remaja berkulit putih dan hitam yang berpakaian ala remaja hip-hop.

Di laman web itu juga, The Minimalist mencadangkan agar satu kutipan dana dibuat bagi membantu Ashraf dan satu ruangan undian kepada pelawat memilih cadangan terbaik bagi membantu penuntut malang itu.

Antara cadangannya ialah: 'Pay His student fees' (bayar yuran pengajiannya), 'Pay for his family to come and visit him in hospital' (bayar perbelanjaan keluarganya untuk datang dan melawat beliau di hospital) dan 'Buy back the stuff that got nicked, PSP, bike, phone' (membelikan semula barangan yang dicuri, PSP, basikal, telefon bimbit). – Bernama


Bagi yang belum berkesempatan menyaksikan video serangan ke atas Asyraf itu, boleh saksikan video tersebut di bawah ini...




Sekarang keadaan Asyraf dilaporkan sihat dan telah selamat menjalani pembedahan bagi kecederaan rahangnya...Alhamdulillah...dengarnya juga ibu bapa Asyraf akan berlepas ke London bagi melawat anak mereka dengan tanggungan sepenuhnya daripada UMNO dengan anggaran perbelanjaan kira kira RM20,000...




P/S : Alhamdulillah warga Britain juga prihatin dengan nasib yang menimpa pelajar negara kita itu...ini menunjukkan tidak kira pegangan agama, atau bangsa sekalipun mereka juga mempunyai nilai kemanusiaan dalam jiwa mereka..kira tak semua mereka berhati "perusuh" kan...tahun hadapan mereka perlu menggalas tanggungjawab menjadi penganjur temasya sukan terbesar di dunia iaitu Sukan Olimpik London 2012 dan harapnya rusuhan ini hanya bersifat sementara..khabarnya sekarang keadaan sudah kembali tenang..Alhamdulillah..sama - samalah kita berdoa supaya warga Malaysia di sana dalam keadaan selamat semuanya..Insyaallah...weeeeeeeeee~ :)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...