Sunday, July 10, 2011

Perhimpunan BERSIH Gagal Capai Target - KL Kembali Tenang



KUALA LUMPUR 10 Julai - Keadaan sekitar ibu negara kembali tenang dengan semua urusan harian orang ramai berjalan seperti biasa hari ini sejurus berakhirnya perhimpunan haram di sini, petang semalam. 

Perniagaan dan pengangkutan awam kembali beroperasi seperti biasa sejak pukul 5 petang semalam, bagaimanapun pihak polis masih meneruskan kawalan keselamatan di beberapa lokasi di ibu negara sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan kejadian sama berulang. 

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, orang ramai termasuk pelancong dari dalam dan luar negara mula membanjiri pusat-pusat tumpuan di sekitar ibu negara tanpa rasa bimbang. 

"Tiada sekatan jalan raya hari ini selepas ia berakhir kira-kira pukul 7 petang semalam manakala semua perkhidmatan pengangkutan awam yang tergendala kira-kira tiga jam mula beroperasi pada pukul 5 petang semalam. 

"Penempatan anggota polis adalah sebagai tindakan susulan bagi memastikan keselamatan awam terus terjamin, ia adalah rutin biasa," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. 

Semalam, langkah pencegahan awal yang diambil Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menggagalkan usaha penganjur Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) untuk berarak dan berhimpun secara haram di ibu negara. 

Langkah polis membuat sekatan jalan raya selain menutup laluan utama menuju ke Kuala Lumpur membolehkan keadaan di ibu negara terkawal meskipun peserta perhimpunan haram terus berdegil dengan cuba merempuh sekatan polis untuk meneruskan perarakan. 

Polis menahan seramai 1,697 orang yang menyertai perhimpunan haram itu termasuk pemimpin kanan parti pembangkang, penganjur Bersih, Datuk S. Ambiga dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin. 

Sumber : Utusan Online

P/S : Alhamdulillah tiada kemalangan jiwa yang serius dilaporkan..Azam naik risau juga dengan isu Perhimpunan Bersih ni..takut akan menganggu gugat keselamatan dan keharmonian negara kita..imej negara pasti akan terjejas..dari target Bersih nak capai seramai 300,000 orang berhimpun, hanya 6,000 orang sahaja yang menyertainya..weeeeeee~ 


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Daisypath Happy Birthday tickers