Thursday, July 14, 2011

Arsenal Benam Harimau Malaya 4 - 0


KUALA LUMPUR - Belum terlambat buat Harimau Malaya mencari kesilapan setelah dibelasah 0-4 oleh kelab gergasi Liga Perdana England, Arsenal di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Memang benar kekalahan yang dialami oleh pasukan negara bukan satu perkara yang mengejutkan, namun apa lebih mustahak, perlawanan 90 minit yang dilalui skuad negara berdepan pemain-pemain berkelas dunia ternyata menjadi bekalan berguna bagi menghadapi Singapura pada pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014.

Corak permainan pantas dan hantaran tepat, dua elemen penting yang boleh dipelajari oleh anak-anak buah Datuk K. Rajagobal daripada Arsenal.

Apa pun, barisan Malaysia wajar dipuji kerana mampu memberikan saingan ke atas skuad bimbingan Arsene Wenger dalam perlawanan menghiburkan yang disaksikan kira-kira 50,000 penonton.

Cuma apa yang sedikit merisaukan ialah kecederaan yang dialami oleh tonggak pertahanan negara, Mohd. Aidil Zafuan yang mungkin terlepas peluang berdepan Singapura selepas dikasari Marouane Chamakh pada minit ke-42 sehingga digantikan dengan Mohd. Muslim Ahmad.

Arsenal semalam berpesta gol menerusi Aaron Ramsey daripada sepakan penalti seawal minit kelima sebelum pemain antarabangsa England, Theo Walcott menanduk masuk gol kedua pada minit ke-36.

Arsenal menambah dua lagi jaringan pada minit ke-57 menerusi Carlos Vela daripada gerakan cantik dan Tomas Rosicky mencipta jaringan keempat pada minit ke-90 bagi menutup kemenangan bergaya kelab dari London itu.

Walaupun dikejutkan dengan jaringan awal Arsenal, Harimau Malaya secara keseluruhannya bermain baik pada babak pertama.

Aksi serba pantas pemain sayap kiri negara, S. Kunanlan banyak mendapat sorakan daripada peminat setia negara selepas acap kali melepasi kawalan bek kanan Arsenal, Carl Jenkinson sementara Ahmad Fakri Saarani dan Norshahrul Idlan Talaha yang menjadi gandingan pilihan Rajagobal pula berjaya mempamerkan rentak agresif.

Namun, salah faham Mohd. Nasril Nourdin dan pertahanan membuka ruang kepada Walcott yang berlari pantas menanduk bola ke dalam gawang yang ternganga bagi mengukuhkan kedudukan 2-0.

Arsenal yang tidak menurunkan beberapa pemain utama jelas mempamerkan rentak hambar pada 45 minit perlawanan tetapi segalanya berubah apabila membawa masuk bintang-bintang mereka antaranya Andrei Arshavin, Robin Van Persie, Samir Nasri, Carlos Vela dan Bacary Sagna.

Peminat Arsenal bersorak gembira apabila bintang kesayangan mereka, Van Persie melangkah masuk ke padang pada minit ke-65 dan kehadiran pemain antarabangsa Belanda itu banyak memberikan masalah kepada pertahanan negara dengan aksi serba memukau di samping kehadiran Nasri dan Arshavin.

Bermula detik itu, pertahanan negara beraksi dalam keadaan kelam kabut ketika Arsenal memperagakan aksi bermutu tinggi.

Malaysia akan menentang Liverpool pada Sabtu ini.




P/S : Nampaknya kelab gergasi Inggeris ini nyata bukan tentangan Malaysia..sekurang - kurangnya Malaysia mempelajari sesuatu dari perlawanan bermakna ini..mungkin selepas ini pasukan Malaysia akan lebih berhati - hati apabila menentang Liverpool sabtu ini dan ini juga boleh menjadi persediaan kepada skuad kebangsaan untuk menentang pasukan Singapura pada minggu hadapan..teruskan berusaha Malaysia!! weeeeeeeee~

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Daisypath Happy Birthday tickers