Thursday, June 30, 2011

Krisis Rumahtangga - Jimmy Takkan Cerai Isteri

JIMMY di samping Zahrah dan ibu mertua, Datin Muniroh Kassim.

KUNJUNGAN Kosmo! ke kediaman keluarga mertua Jimmy Shanley untuk merakamkan gambar-gambar anak sulungnya Zahrah Shanley yang ketika itu baru berusia lima hari disambut baik oleh Jimmy, isterinya Nursuhaila Eliani, 25, dan juga keluarga mertuanya meskipun kemelut rumah tangga mereka masih belum berakhir.

Ketepikan semua sengketa, kini, dengan kelahiran puteri sulung buat Jimmy dan Suhaila dan cucu ketiga dalam keluarga Datuk Suhaimy Othman dan Datin Muniroh Kasim pada 24 Jun lalu secara pembedahan di Pusat Perubatan Putra, Sungai Buloh, semua pihak cuba memberi yang terbaik kerana tidak mahu Zahrah yang masih belum mengerti apa-apa menerima kesannya.

“Pertama kali saya dukung Zahrah, satu perasaan yang tidak pernah saya rasa muncul dalam diri. Saya menangis dan gembira dalam masa yang saya, satu perasaan yang tidak dapat saya gambarkan.

“Selepas kelahiran Zahrah saya ketepikan segala ego hanya untuk memberi kehidupan yang sempurna buatnya.

“Dia perlukan ibunya dan saya sebagai ayahnya, saya tidak mahu mementingkan diri sendiri dan tidak berlaku adil kepada anak saya. Biarlah saya bahagia menjadi seorang bapa kalau saya tidak dapat bahagia menjadi seorang suami. Tetapi dengan kelahiran Zahrah, saya mengharapkan hubungan kami pulih seperti dulu,” ucap Jimmy.

Bergilir-gilir jaga anak

Jimmy yang sebelum ini tinggal berasingan sejak isterinya hamil kini telah kembali ke rumah ibu mertuanya semata-mata mahu menjaga sendiri Zahrah.

“Saya sudah dua hari tidur di sini bersama Zahrah, saya dan ibunya bergilir-gilir menjaganya siang dan malam. Sebelah malam, Zahrah akan tidur dengan saya dan saya menikmati momen terpaksa berjaga tengah malam untuk beri anak susu dan salin lampin.

“Zahrah tidak banyak meragam, dia hanya akan merengek bila nak susu dan salin lampin, selebihnya dia akan tidur. Dia memang anak yang baik,” ujar Jimmy sambil tersenyum bangga dengan puteri sulungnya.

Jelas Jimmy lagi, disebabkan ketika isterinya hamil dia tidak dapat mengikuti sebarang perkembangan Zahrah, dia nekad untuk bekerja hanya pada hari Ahad di Gala TV, Astro Awani selama satu jam selebihnya, Jimmy akan berada di rumah menjaga Zahrah.

“Selama sembilan bulan Zahrah di dalam perut ibunya, kami langsung tidak bersua, hasrat saya untuk mengambil gambar perut ibunya membesar setiap bulan juga tidak kesampaian. Jadi, apabila Zahrah lahir saya mahu berada di sisinya setiap masa dan merakamkan perkembangannya.

“Kalau boleh saya tidak mahu ketinggalan dan tidak sabar menantinya menyebut perkataan pertama, langkah pertamanya dan macam-macam lagi.

“Saya besyukur dan berterima kasih kepada isteri saya kerana melahirkan seorang anak perempuan yang sempurna dan sihat. Saya yakin selepas ini saya akan menjadi lebih kuat untuk mengharungi ujian yang datang,” balasnya.

Walaupun Jimmy dan isterinya masih di dalam krisis, tegas Jimmy, dia tidak sesekali menceraikan isterinya kerana dia sendiri takut akan penceraian setelah menyaksikan sendiri pasangan yang bercerai di depan matanya ketika menghadiri sesi kaunseling di mahkamah syariah.

“Saya tidak pernah memfailkan permohonan untuk bercerai, sebelum ini saya ada ke mahkamah untuk sesi kaunseling dan bila saksikan sendiri satu pasangan bercerai, saya rasa sedih. Bila saya sudah ada anak, lagi saya tidak mahu perkara itu berlaku pada saya dan isteri.

KASIH bapa. Jimmy amat bersyukur dengan kelahiran zuriat sulungnya ini.

Nama Zahrah yang membawa maksud zahir yang cantik diberi oleh Jimmy. Sebenarnya ia merupakan nama gabungan arwah ibunya Azizah Mohd. Yusof dan ibu mertuanya Muniroh Kasim.

“Memang saya yang pilih nama ini, sebelum itu saya ada berbincang dengan keluarga mertua dan mereka bersetuju dengan nama yang saya pilih. Saya juga merasakan nama Zahrah memang sangat sesuai dengan anak saya,” kata Jimmy lagi.

Meskipun anaknya masih kecil, sudah bermacam-macam perancangan yang dibuat untuk puteri kesayangannya itu.

“Saya mahu dia bersekolah di sekolah kebangsaan bukannya sekolah swasta kerana saya mempunyai zaman persekolahan yang hebat, jadi saya mahu anak saya turut merasainya. Kalau boleh saya juga mahu dia menjadi seorang atlet tenis kerana di Malaysia kita belum ada atlet tenis yang benar-benar bersinar.

“Harapan saya, selain dia menjadi pengikat kasih saya dan isteri, saya mengharapkan Zahrah menjadi anak yang solehah kerana anak yang akan mendoakan saya apabila saya sudah tiada di dunia kelak,” jawabnya yang inginkan anak seramai lima orang termasuk anak kembar.

Ibu mertuanya yang turut meluahkan rasa syukurnya atas kelahiran Zahrah dalam masa yang sama gagal mengawal air matanya apabila mengenangkan masalah rumah tangga yang dihadapi oleh anak bongsunya dan menantunya itu.

“Saya gembira sangat bila lihat Zahrah lahir, tidak tahu nak cakap macam mana. Saya harap dengan adanya Zahrah hubungan mereka suami isteri akan kembali pulih. Sepanjang hidup saya, inilah masalah dan dugaan yang terbesar pernah saya hadapi.

“Sebagai ibu dan nenek, saya ingin yang terbaik buat mereka, kita cuba pelbagai cara, tunaikan umrah dan apa yang boleh saya lakukan adalah mendoakan kebahagian mereka sehingga ke akhir hayat,” kata Muniroh.

Sumber : Kosmo Online

P/S : Isshh..kesian tengok Jimmy ni..kenapa ya isteri beliau tergamak melakukan perkara seumpama itu..Azam tak berani nak komen banyak kerana hanya mereka saja yang tahu perihal rumahtangga mereka sendiri..macam - macam...tapi yang penting 'respect' dan kagum juga bila tengok Jimmy ni, dia masih tabah dan kuat untuk bergelar seorang bapa yang baik kepada anak beliau..huhu..weeeeeeee~


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Daisypath Happy Birthday tickers