Sunday, July 3, 2011

Syabas Skuad Kebangsaan Mara Bertemu Singapura!!


K. Rajagobal mendakap Aidil Zafuan Abd. Razak yang berjaya menjaringkan gol pertama skuad negara pada pertemuan kedua pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Taiwan di Taipei, malam tadi. Malaysia tewas 2-3 tetapi terikat 4-4 secara agregat yang melayakkan Harimau Malaya ke pusingan kedua berdasarkan peraturan kelebihan gol di tempat lawan

KUALA LUMPUR - Malaysia mara ke pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 berdasarkan peraturan kelebihan gol di tempat lawan sekalipun tewas 2-3 kepada Taiwan, semalam.

Dengan agregat yang terikat 4-4, dua gol yang dijaringkan di Stadium Perbandaran Taipei sudah cukup untuk meletakkan skuad Harimau Malaya menempah pertemuan seterusnya dengan Singapura pada 23 Julai ini.

Anak-anak buah Datuk K. Rajagobal bakal menentang pasukan jiran di Singapura dalam aksi awal manakala perlawanan kedua dilangsungkan di Stadium Nasional Bukit Jalil, 28 Julai ini.

Perlawanan semalam, menyaksikan skuad senior kebangsaan tumpas buat pertama kali sejak menjuarai Piala Suzuki AFF pada tahun lalu.

Kekalahan itu wajar dijadikan satu pengajaran berguna buat barisan pemain Malaysia memandangkan lawan yang bakal mereka tentang selepas ini bukan calang-calang pasukan.

Ketika ditemu-ramah oleh Astro Arena, Rajagobal berkata, walaupun skuad kebangsaan berjaya ke pusingan kedua, namun, beliau masih tetap tidak berpuas terhadap persembahan yang dipamerkan anak-anak buahnya.
"Memang kita layak tetapi saya tidak berapa puas hati dengan persembahan mereka. Namun, bukan secara keseluruhan kerana ada masanya pemain kita bermain baik.

"Saya dapat lihat mereka mampu serang dengan baik tetapi masih banyak yang perlu diperbaiki" katanya.

Sementara itu, pengurus pasukan kebangsaan, Datuk Subahan Kamal pula memberitahu, kekurangan yang masih dimiliki oleh para pemain Malaysia ialah fizikal mereka.

"Fizikal juga amat penting kerana selain mental dan taktikal kita memerlukan kekuatan fizikal. Sebab itu, saya berasakan pendedahan bermain dengan pasukan gergasi seperti Arab Saudi, Bahrain dan Jordan diperlukan oleh skuad Malaysia," ujarnya.

Apa yang penting selepas ini, Rajagobal perlu segera mencari 'tonik' baru bagi memastikan pemain-pemain bimbingannya bersedia menghadapi cabaran Singapura.

Pertemuan kedua-dua negara jiran itu yang disifatkan sebagai pertembungan dua musuh tradisi sudah pasti menghidangkan satu perlawanan menarik yang menyaksikan kekuatan seimbang 50-50.

Singapura yang mendapat sentuhan jurulatih Serbia, Radojko Avramovic turut diperkuatkan dengan barisan 'awang import' yang diberi status kewarganegaraan.

Antara pemain tersebut ialah Goncalves dari Brazil, pemain kelahiran Croatia, Mirko Grabovac, Itimi Dickson dari Nigeria dan pemain Yugoslavia, Aleksandar Duric.

Kali terakhir Harimau Malaya bertemu Singapura pada 29 November 2008 di Stadium MPPJ, Kelana Jaya menerusi perlawanan persahabatan yang menyaksikan kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan 2-2.

Pada perlawanan semalam, skuad kebangsaan mendapat sepakan percuma apabila kapten, Safiq Rahim dijatuhkan dan pemain pertahanan Aidil Zafuan Abd. Razak tidak mensia-sia peluang meledakkan gol sulung hasil jaringan cantik pada minit ke-7 menewaskan penjaga gol Taiwan, Lee Po Cheng.

Gol penyamaan diperoleh tuan rumah menerusi Chang Han yang mengambil kesempatan kekalutan yang berlaku di depan pintu gol skuad negara untuk menolak masuk dengan kaki kirinya pada minit ke-30.

Namun, jaringan itu tidak mematahkan semangat para pemain kebangsaan apabila Malaysia sekali lagi berjaya membolos gawang tuan rumah menerusi Safiq yang menggegarkan pintu gol Taiwan untuk meletakkan Malaysia di depan 2-1.

Taiwan yang mendapat sokongan padu penyokong tempatan, meraih gol penyamaan pada minit ke-44 melalui Che Po Liang yang menyempurnakan sepakan penalti setelah Mahali Jasuli menjatuhkan pemain tuan rumah.

Tuan rumah yang terdesak mencari dua lagi gol, sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil Vietnam, Goh Minh Tri apabila pertahanan Malaysia, Fadhli Shas menjatuhkan pemain lawan, namun rembatan yang diambil Po Liang kali ini berjaya diselamatkan Sharbinee pada minit ke-61.

Ingauan buruk berterusan menimpa skuad kebangsaan, setelah pengadil yang dilihat berat sebelah kepada Taiwan buat kali ketiga menghadiahkan penalti yang mudah disempurnakan oleh Xavier Tsan pada minit ke-74 untuk mengatasi dengan keputusan 3-2

Sumber : Utusan Malaysia Online

P/S : Malam ni agak "blur" dan tak tahu nak menaip apa lagi...harap pasukan Malaysia dapat la kalahkan jiran kita Singapura pada pusingan seterusnya..huhu..Malaysia Boleh!! weeeeeeeeeeeeee~




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Daisypath Happy Birthday tickers