Wednesday, November 4, 2009

Lawatan ke Rumah Perlindungan Anak Yatim YPIN

Tanggal 15 Oktober 2009 (Khamis)


Satu pagi yang cukup dingin, aku langsung tidak tidur kerana risau terlewat bangun dan pada masa itu juga aku baru sahaja menyudahkan tugasan subjek “Sociology” ku serta tugasan tugasan lain yg agak banyak. Aku pun meneruskan langkah ku meluru ke kamar mandi, aku capai tualaku dengan gegas dan gesanya lalu memberus gigiku dan membasahi tubuhku dengan air pili yang kesejukannya memang mencengkam tulang temulangku. Sesudah itu, aku sarungkan baju kelas ku yg aku reka khas logonya utk cetakan t-shirt kelas Puan Hariyati Ariffin atau lebih mesra kami sapa dengan panggilan Mama iaitu kelas “Thinking & Writing Strategies”.

Aku kemudiannya bergegas menunggu bas di perhentian bas di seksyen 2 Shah Alam berdekatan kolej kediamanku, Kolej Meranti. Bas RapidKL T603 ku naiki setelah ku hulurkan not RM1 kepada pemandu berkenaan yang usianya kira kira lewat 30-an. Aku pun mencari tempat duduk yang masih kelihatan kosong untuk menuju ke fakulti ku iaitu Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM. Bas yang aku naiki pada pagi itu dipandu agak cermat menyelusuri selok jalan raya ke perhentian bas fakulti ku. Setibanya di perhentian bas kurang dari 5 minit aku pun turun dan mendapatkan rakan rakan kelas ku yang sudah pun menunggu di situ awal pagi. Sekarang kami hanya perlu menunggu ketibaan Mama untuk meneruskan misi kami ke sebuah lokasi yang telah ditetapkan

Rasa teruja masih menebal di hatiku, aku segera ingin tahu bagaimana agaknya suasana yang bakal aku lihat dan alami di sana nanti. Sementara menunggu ketibaan Mama, kami sempat mengabadikan beberapa foto sebagai kenangan sebelum bertolak dan menaiki bas. Lebih kurang beberapa minit menunggu, Mama pun tiba di perhentian bas berhadapan fakulti tempat kami setia menunggu. Sebelum menaiki bas yang sudahpun tiba, kami bersama same membuat persiapan terakhir iaitu menyemak barang barang yang perlu kami bawa ke sana nanti seprti baldi, penyapu, kain buruk serta perkakas membersih yang lain serta makanan untuk dibuat pengalas perut di dalam bas semasa perjalanan nanti. Mama juga sempat menyuruh kami memeriksa rakan rakan ku yang lain jika masih ada yang belum sampai atau tertinggal sebelum bas tersebut bertolak.

Setelah diteliti dan disemak oleh kami semua mengenai status kehadiran rakan rakan sekelas, ternyata masih ada seorang yang belum tiba iaitu Sue. Ada juga antara rakan rakan kami yang lain yang telah diberikan pengecualian oleh Mama untuk tidak mengikuti program pada hari tersebut kerana perlu menduduki kertas peperiksaan pertengahan semester subjek “Introduction to Mass Communication” yang berlangsung pada pagi tersebut. Sepatutnya, peperiksaan tersebut perlu kami duduki pada keesokkan harinya iaitu hari Jumaat tetapi disebabkan mereka yang diberikan pengecualian oleh Mama menghadapi kesulitan untuk menduduki peperiksaan pada tersebut kerana beberapa masalah maka kertas mereka terpaksa diawalkan sehari. Setelah barang barang yang dibawa dimasukkan ke dalam bas, kami pun menaiki bas dan bergerak menyelusuri bukit di Menara Sains & Teknologi lalu berhenti sebentar di perhentian bas berhampiran Kolej Melati dan Dataran Cendekia untuk menunggu rakan kami yang masih tertinggal iaitu Sue.

Setelah beberapa minit menanti, kelihatan Sue berlari lari anak dan sedikit kepenatan mengejar bas yang akan bergerak keluar dari UiTM Shah Alam ini. Setelah semua rakan rakan kelas ku sudah berada di dalam bas, bas tersebut mulai bergerak menuju keluar menerusi Gate B UiTM. di dalam bas, kami diedarkan dengan dua potong sandwich setiap seorang dan sebotol air mineral untuk menjadi pengalas perut sebelum tiba ke destinasi. Aku pun membuka sampul sandwich yang dibalut rapi itu lalu memasukannya ke dalam mulutku, memang enak tambahan pula perutku agak kozong pada pagi itu. Sesudah itu, aku hanya melemparkan pandangan ku ke luar tingkap. Rasa mengantuk memang tidak dapat dibendung lagi, perjalanan pada ku masih lagi jauh berbaki, lantas aku pun tertidur seketika. Sepanjang perjalan aku lihat beberapa rakan ku turut tertidur mungkin kerana kebosanan atau kurang tidur akibat tugasan yang terlampau banyak yang diberikan oleh pensyarah untuk disiapkan, ada juga yang masih aktif mengambil gambar dan berbual bual.

Hampir satu jam lebih perjalanan menuju ke destinasi kami iaitu Banting, Selangor, kami pun tiba di Rumah Amal Anak Yatim Yayasan Pembangunan Insan Nasional (YPIN). Kami pun menuruni bas dan mengambil barang barang keperluan yang dibawa untuk bergotong royong nanti. Kami berjalan beramai ramai masuk ke perkarangan rumah anak yatim tersebut dengan diketuai oleh Mama. Kami duduk di kerusi yang disediakan berhadapan pentas sementara menunggu pihak dari YPIN. Ternyata kehadiran kami pada pagi tersebut telah disambut baik oleh Ustaz Yusof. Program pada pagi itu dimulakan dengan ucapan alu aluan oleh Ustaz Yusof diikuti ucapan oleh Mama yang menyatakan rasa terima kasih bagi pihak kami kerana sudi menerima tetamu seperti kami ke YPIN. Program kemudian diteruskan dengan penerangan ringkas mengenai aktiviti gotong royong yang bakal kami lakukan pada pagi tersebut.

Kami dipecahkan kepada empat kumpulan iaitu kumpulan pertama dikehendaki memasak dan membantu di bahagian dapur, kumpulan kedua perlu mengangkat dan membaiki katil katil rosak yang dirasakan masih boleh digunakan untuk diangkat ke dalam semula. Kumpulan ketiga perlu membersihkan stor di belakang rumah manakala kumpulan empat perlu mencari bahan bahan yang boleh digunakan untuk menutup lubang lubang yang terdapat di pagar pagar di sekeliling rumah berkenaan bagi menjaga keselamatan anak anak di rumah perlindungan ini. Aku telah dimasukkan ke dalam kumpulan kedua oleh Mama bersama kebanyakkan rakan kelas lelaki yang lain. Sebelum memulakan tugas khidmat masyarakat kami pada pagi itu, kami sempat bersarapan pagi dengan hidangan bihun goreng serta kuih muih hari raya yang masih ada yang telah disediakan oleh pihak YPIN. Selesai menjamu selera dan mengisi perut, kami pun memulakan tugas mengikut kumpulan masing masing.

Aku pun bergerak mengikut kumpulan ku menuju ke belakang rumah, aku lihat banyak rangka rangka katil bertingkat yang bersusun di situ. Aku pun lantas membantu rakan rakan ku bersama sama mengangkat serta memilih rangka katil yang masih boleh digunakan dan elok untuk dipakai dan dibaiki semula. Setelah beberapa lama, kami pun menjumpai beberapa rangka katil yang masih elok untuk membina sebuah katil dua tingkat. Selesai bertukang dan memasang rangka rangka katil tersebut, aku pun membersihkan katil tersebut bersama sama dengan Zaidi. Katil tersebut kelihatan baru dah bersih kembali. Kami kemudiannya beralih kepada kerja lain iaitu mengangkat mana mana bahagian katil dan besi besi buruk yang sudah tidak boleh digunakan lagi ke atas lori yang disediakan untuk dibuang dan dijual.

Selesai tugas tugas membersih dan membaiki tersebut, aku dan rakan rakan ku pun berehat di hadapan dan di dalam rumah. Aku lihat masih ada rakan perempuan rakan kelas ku yang masih takut takut untuk membersihkan stor kerana takut akan kehadiran lipas atau tikus berlegar legar di dalam stor tersebut. Aku kemudiannya terbau bau masakan yang cukup enak, perutku mulai berkeroncong minta diisi. Rakan rakan ku yang membantu di dapur sudah mulai kelihatan membawa hidangan lauk pauk serta nasi putih. Hidangan utama untuk menu makan tengah hari ialah Ayam Masak Merah yang memang kelihatan cukup menyelerakan. Selesai dihidangkan di atas meja, sebelum kami dibenarkan untuk mengambil makanan, aku telah dipilh oleh Mama untuk mengetuai bacaan doa makan pada waktu tersebut. Selesai membaca doa, aku dan rakan rakan ku yang lain pun mulai beratur untuk menjamu selera kerana masing masing pastinya sudah kelaparan dan kepenatan akibat melakukan kerja sepanjang pagi tadi. Sesudah mengambil nasi dan lauk yang yang aku inginkan beserta secawan air sejuk, aku pun duduk bersama sama rakan ku yang lain di atas lantai dan menikmati hidangan makan tengah hari kami.

Sesudah perut diisi dengan kenyang, aku pun duduk beristirehat sementara menunggu rakan rakan ku yang lain selesai makan untuk mendirikan solat zuhur secara berjemaah sebantar lagi. Aku hampir hampir saja tertidur kerana kepenatan. Aku pun kemudiannya bergerak ke surau bersama sama rakan ku yang lain untuk mengambil wuduk dan menunaikan kewajipan kami sebagai umat islam. Habis bersembahyang zuhur, kami pun tiba di aturcara program yang terakhir iaitu sesi mengambil gambar kenangan bersama sama Mama serta wakil dari YPIN. Kami pun menyusun kedudukan masing masing supaya kelihatan cantik di dalam gambar. Kamera kamera yang dibawa pada hari tersebut yang aku kira kira agak banyak telah digunakan dengan sepenuhnya serta sebaik baik nya untuk sesi fotografi pada tengah hari tersebut.

Sesi fotografi pun berjalan lancar dengan gelak ketawa warga kelas ku dan pihak dari YPIN juga turut berasa senang dengan telatah kami semasa sesi tersebut berlangsung. Sesudah selesai sesi terakhir tersebut, kami pun memohon kebenaran untuk pulang, sebelum pulang, kami sempat menyediakan serta memberikan sedikit cenderahati sebagai tanda kenang kenangan untuk diberikan kepada pihak YPIN dengan diwakili oleh Mama. Selepas upacara penyampaian cenderahati, kami pun beransur untuk pulang menaiki bas yang telah pun menunggu kami di luar rumah untuk membawa kami pulang ke Shah Alam. Dengan langkah yang longlai serta kepenatan kami pun melambai lambai ke luar tingkap mengucapkan selamat tinggal kepada rumah anak yatim berkenaan sejurus bas yang kami naiki bergerak.

Ternyata lawatan pada kali ini bersama sama dengan Mama telah membawa seribu satu makna dan rasa kepada seluruh rakan rakan kelas ku termasuklah aku sendiri. Perasaan ku sudah cukup bercampur baur dengan perasaan gembira, sedih, kepenatan, teruja dan macam macam lagi. Memang tidak dapat aku gambarkan dengan kata kata. Tetapi yang nyata aku telah membuat satu kerja amal walaupun agak sedikit kepenatan, itu perkara biasa. Aku hanya duduk di kerusi bas bertemankan hawa dingin yang cukup sejuk dan nyaman. Suasana dalam bas yang ingin pulang ke Shah Alam agak sunyi dan sepi berbanding sewaktu perjalanan pergi sebelum ini. Mungkin semua sudah tertidur akibat keletihan.sedang asyik melemparkan pandangan ku ke luar jendela bas, tanpa disedari aku pun turut terlena sehinggalah bas tersebut tiba di perhentian bas berhadapan fakulti ku kembali di UiTM Shah Alam pada jam 3 petang.

2 comments:

  1. terima kasih mama!!tu laporan jurnal sye tu..mama dh bace ek??markah nye mcm mane ek mama??hihihi.. ;)

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Daisypath Happy Birthday tickers