Monday, October 8, 2012

Malam Anugerah Blockbuster Syamsul Yusof


PADA usia 28 tahun, dengan lima tahun pengalaman mengarah filem, Syamsul Yusof, sekali lagi mengukir kejayaan luar biasa apabila diumumkan sebagai penerima Anugerah Tuan Direktor Terhebat menerusi filem Khurafat selain filem arahannya, KL Gangster diangkat sebagai Filem Terhebat menerusi penganjuran sulung Anugerah Blockbuster 2011 yang berlangsung Sabtu lalu.

Dominasi pemegang rekod Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) untuk dua tahun berturut-turut (FFM Ke-23 dan Ke-24) itu tidak terhenti setakat dua trofi saja. Sebaliknya memenangi dua lagi kategori penting iaitu Anugerah Filem Aksi Terhebat (KL Gangster) dan Anugerah Filem Takut Terhebat (Khurafat) selain muncul sebagai penerima anugerah khas iaitu Anugerah PFM yang pertama. 


Kemenangan Syamsul bernilai RM25,000 itu, sekali gus menewaskan judul filem hebat seperti Hikayat Merong Mahawangsa dan Ombak Rindu yang sebelum ini disebut-sebut akan menguasai keputusan malam itu. 

“Saya terkejut dan hilang kata-kata. Saya tidak menyangka sama sekali penganjuran Anugerah Blockbuster yang julung kalinya diadakan ini akan menjadi malam yang cukup indah buat saya.

“Empat anugerah dan satu anugerah khas, tidak pernah saya jangkakan langsung sebanyak itu trofi yang akan saya bawa pulang. Terus terang, saya jangkakan malam ini Ombak Rindu akan menang besar ekoran fenomena filem itu sendiri.

“Malah, saya sendiri mempunyai pendapat peribadi di mana filem Hikayat Merong Mahawangsa lebih layak memenangi kebanyakan anugerah yang saya menangi terutamanya Anugerah Filem Aksi Terhebat kerana teknik yang digunakan lebih ‘advance’ dan canggih. 

“Saya sendiri pernah menonton filem itu dan amat mengagumi aksi yang dipamerkan menerusi filem arahan abang Yusry Abdul Halim itu. Mungkin, kemenangan berpihak kepada saya kerana formula yang digunakan dalam KL Gangster sendiri dekat dengan kehidupan masyarakat menjadi suatu kelebihan,” katanya. 

Menilai kemenangan Syamsul itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana filem KL Gangster sehingga kini masih bertahan sebagai filem paling laris dalam sejarah penayangan filem tempatan dengan kutipan hampir RM12 juta atau jumlah tepatnya, RM11.74 juta. 

Jumlah kutipan itu saja sudah cukup membuktikan betapa filem KL Gangster meraih perhatian jutaan penonton. Di mana tidak mustahil mereka inilah yang bertindak sebagai pengundi dalam memastikan kemenangan Syamsul serta filem kegemaran mereka di anugerah Blockbuster yang menyerahkan 100 peratus undian dilakukan oleh penonton. 

Menyifatkan kemenangan malam itu sebagai kejayaan berpasukan produksi Skop Productions Sdn Bhd serta barisan pelakon hebat yang membintangi filem berkenaan seperti iaitu Aaron Aziz, Adi Putra, Soffi Jikan, Zizan Razak termasuk semuanya, Syamsul turut mengumumkan kesediaannya untuk mengarahkan filem berbajet besar iaitu epik. 

“Saya ingin berterima kasih kepada semua pelakon yang membintangi KL Gangster kerana merekalah yang mencorakkan filem ini untuk tampak lebih menarik. 
Sebenarnya saya sedikit kecewa mengapa dua lagi pelakon saya, Adi Putra dan Soffi Jikan tidak tercalon dalam kategori Hero Terhebat. Walau bagaimanapun, saya dedikasikan anugerah ini untuk mereka. 

“Kemenangan malam ini besar impaknya dan ia juga menandakan sudah sampai masanya saya mencabar kemampuan menghasilkan filem epik dengan bajet besar selain meneruskan kecenderungan saya dalam pembikinan filem aksi dan seram. 

“Saya akan terus menghasilkan filem-filem yang dekat dengan kehidupan masyarakat kerana saya percaya penontonlah yang menentukan kejayaan sesebuah filem. 

“Justeru, penting menghasilkan filem yang memberi nilai tambah buat mereka dan pada masa yang sama pengarah perlu ada rasa tanggungjawab menjaga kualiti kerja mereka,” katanya yang dalam perancangan menayangkan filem KL Gangster 2, tidak lama lagi. 

Sebanyak lima anugerah digondol pada malam itu, Syamsul yang turut dikenali dengan watak Shark dalam filem KL Gangster bagaimanapun tewas mengejut bagi kategori Anugerah Penyangak Terhebat kepada pendatang baru, Fikri Bakar menerusi lakonannya dalam filem Klip 3GP. 

Pengumuman keputusan Anugerah Blockbuster, boleh dianggap di luar jangkaan. 
Bintang Paling Popular Berita Harian 2011, Aaron Aziz, misalnya tumpas di tangan pelakon komedi terkenal, Zizan Razak menerusi Anugerah Hero Terhebat, meskipun pencalonannya bersandarkan kehebatan filem Ombak Rindu yang mencatat kutipan box-office. 

Zizan yang diangkat sebagai pemenang menerusi filem Hantu Bonceng berkata, dia tidak menyangka sama sekali bakal membawa pulang gelaran Anugerah Hero Terhebat kerana dia tidak nampak karakter hero itu dalam dirinya. Namun, dia percaya populariti pementasan Lawak Ke Der di Istana Budaya yang baru saja selesai Rabu lalu dan filem Hantu Kapcai, hangat ditayangkan kini mempengaruhi undian peminat. 

“Saya tertanya-tanya di manakah letaknya pesona seorang Hero pada diri saya? 
Saya tidak punya rupa yang kacak seperti kebanyakan pelakon yang bertubuh sasa dan tinggi seperti Aaron Aziz, jadi saya tidak tahu apa yang membuatkan peminat nampak saya layak untuk menang kategori ini. 

“Mungkin Aaron tidak mempunyai hidung resdung seperti saya! (berseloroh). 
Apapun saya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga buat semua peminat yang tidak jemu mengundi saya. Tanpa mereka saya tidak mungkin berada di sini hari ini. 

“Mungkin apa yang saya peroleh malam ini adalah hasil daripada kerja yang ikhlas. Saya juga berharap, kemenangan ini merangsang lebih ramai pelakon komedi untuk lebih ke depan selain membakar semangat saya untuk terus membantu memajukan industri seni tempatan,” katanya. 

Dalam konteks Hero Terhebat, bererti kehebatan yang diperkatakan bukan bersandarkan populariti semata-mata, akan tetapi lakonan seseorang aktor itu juga haruslah versatil. 

Diajukan kepada Zizan, apakah selepas ini dia bersedia mencabar dirinya menerusi watak yang berbeza selain komedi, bintang berusia 27 tahun itu sudahpun memulakan langkah menerusi filem Tokan arahan Ghaz Abu Bakar. 

“Komedi adalah dunia saya yang tidak boleh saya pinggirkan begitu saja tambahan pula, saya memang rasa senang hati apabila dapat membuatkan orang ketawa. 
Namun, saya juga tidak mahu peminat jemu dengan lakonan saya maka pertengahan tahun ini saya mengambil peluang membintangi filem Tokan arahan Ghaz Abu Bakar juga pengarah filem Hantu Kapcai. 

“Menerusi filem itu saya membawakan watak seorang tokan atau ‘drug pusher’. 
Permainan emosi kali ini agak berbeza kerana saya membawakan unsur-unsur lakonan ‘dark comedy’,” katanya. 

Anugerah Heroin Terhebat juga mengejutkan apabila bintang Bini Biniku Gangster, Yana Samsudin, mengetepikan dua calon hebat, Lisa Surihani yang dicalonkan menerusi filem Sekali Lagi dan Papa I Love You manakala Maya Karin (Ombak Rindu). 

“Memang saya tidak menyangka langsung kemenangan ini kerana kali terakhir saya melihat kedudukan saya dalam website Anugerah Blockbuster, saya berada di tangga kedua selepas Lisa. Apa yang saya lakukan hanyalah sering berhubung dengan peminat melalui twitter supaya mereka terus menghantarkan undian. 

“Mungkin, hubungan yang rapat dengan peminat dan semestinya kegigihan mereka menghantarkan undian melayakkan saya untuk menerima trofi malam ini. 
Bagaimanapun, saya tidak nafikan karakter Kak Yong di dalam filem Bini Biniku Gangster amat besar impaknya dalam kerjaya lakonan saya,” katanya. Sementara itu, pelakon cantik Tasha Shila, sekali lagi mengulangi kejayaan Artis Baru Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular berita Harian 2011, April lalu, apabila diumumkan Anugerah Heroin Baru Terhebat menerusi persembahan lakonannya di dalam Ratu The Movie. 

Kemenangan Tasha itu sekali gus, mengetepikan Mia Sara Nasuha, Nadiya Nisa, Shera Ayob, Sara Ali, Kila Fairy, Jazzy Rashid, Adeline Tsen dan Mimie One Nation Emcee. 

“Kemenangan ini adalah kemenangan peminat terutamanya daripada Tashashila Team kerana merekalah yang mengundi saya sejak ABPBH sehinggalah sekarang. Tanpa mereka, saya tak mungkin berkesempatan merasai kemenangan ini. 

“Terima kasih kerana menyokong karier saya dan dalam pelbagai kelemahan saya sebagai pendatang baru, saya berharap saya dapat memberikan persembahan lakonan yang baik buat peminat pada masa akan datang sebagai membuktikan kesungguhan dan keinginan saya untuk berjaya dalam bidang ini,” katanya. 

Untuk setiap kategori, pemenang akan menerima sebuah trofi serta wang tunai RM5,000 kecuali untuk Anugerah Filem Terhebat di mana pemenangnya menerima trofi dan wang tunai RM10,000. 

Anugerah Blokbuster 2011 yang dianjurkan Penerbit Filem Malaysia (PFM) yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam, Sabtu lalu dipancarkan kepada penonton secara langsung di Astro Ria (saluran 104). 

Pertama kali diperkenalkan, ia akan menjadi acara tahunan yang bertujuan memartabatkan filem serta penggiat seni tempatan. Filem yang bertanding dalam Anugerah Blockbuster 2011 adalah karya yang ditayangkan bermula 1 Januari 2011 sehinggalah 31 Disember 2011. 

Pemilihan pemenang dibuat penonton yang membuat undian secara online dan SMS. 

Sebanyak 15 anugerah dipertandingkan, Anugerah Direktor Baru Terhebat dimenangi M Suurya menerusi filem (Sumpahan Puaka), Anugerah Filem Kelakar Terhebat (Hantu Bonceng), Anugerah Drama Muzikal Terhebat (Nur Kasih The Movie), Anugerah Lagu Filem Terhebat (Ombak Rindu), Anugerah Hero Baru Terhebat (Shahir menerusi filem Karak) dan Anugerah Astro First Terhebat (Kongsi).

Koleksi Gambar AR
















































AR berkata : Anugerah Blockbuster ni mungkin satu percubaan yang baik daripada pihak ASTRO dan PFM untuk sama - sama mengangkat industri filem negara ke peringkat yang lebih meriah setanding acara anugerah muzik tapi sayangnya kelihatan hambar..mungkin kerana tahun pertama penganjurannya..boleh dimaafkan..anugerah ni mengingatkan AR kepada Anugerah ERA yang telah lama menghilang bezanya Anugerah ERA mengangkat karya muzik manakala Anugerah Blockbuster mengangkat karya filem..apapun teruskan usaha dan yang menang tahniah diucapkan ok..weeeee~

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Daisypath Happy Birthday tickers