PANDANGAN terus tertumpu pada satu fokus yang tidak henti melambai, manis lengkap bertudung hitam, senyum yang terukir bagai menceritakan perasaan yang lama disembunyikan.
Realitinya, lebih sejam menanti di ruang ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur petang kelmarin itu berbaloi dengan segala macam cerita yang dikongsikan. Nur Shahila Amir Amzah atau lebih dikenali Shila Amzah terharu kepulangannya dinanti dan disambut meriah. “Alhamdulillah. Akhirnya...,” ucap si pemilik wajah jelita ini tatkala semua media datang berhimpit mendekatinya.
Bak lagunya sendiri Memori Tercipta, penyanyi muda itu memperoleh kenangan terhebat dalam sejarah kerjaya seninya. Dia kini superstar baru Asia. Siapa pernah menduga, bintang muda berbakat besar berusia 22 tahun itu punya peluang luar biasa apabila diangkat menjadi juara Asian Wave 2012 sekali gus menewaskan wakil-wakil dari negara Asia lain di Shanghai minggu lalu.
Itulah hakikatnya. Meskipun kemenangan itu disifatkan rezeki dan ketentuan, sesuatu yang sukar disangkal adalah usahanya selama ini dan kesungguhannya yang tidak sesaat terpadam dalam mengejar impian.
Jelas Shila yang pulang ditemani ayahnya, N.D Lala, ibu dan Pengurus Besar Badan Hak Pelaku dan Persembahan Artis Sdn Bhd (Prism), Ong Peng Chu, pengiktirafan yang diterima adalah cenderahati terindah buatnya yang sekian lama menanti.
“Bukan sehari dua saya berdiri dalam industri muzik sebaliknya lebih sedekad lamanya saya bertahan memperkenalkan nama dan bakat. Adat industri tempatan kita, ia tidak besar mana dan peluang ke depan bukan semudah yang dilihat. Saya berusaha dan terus meletak sepenuh kesungguhan sejak dulu semata-mata ingin mengejar impian.
“Mujur adanya ayah dan keluarga yang tidak pernah lupa menyokong. Mereka adalah inspirasi dan pembakar semangat untuk saya terus memacu langkah ke depan dan tidak sekali putus asa walaupun dugaan dan cabaran yang datang bukan kecil anak. Saya tempuh seribu satu kemelut namun alhamdulillah semuanya saya lewati dengan kemas.
“Justeru apabila berjaya menawan hati kesemua enam juri di Asian Wave 2012 dan memberikan sebuah persembahan yang berjaya memancing perhatian mereka, saya fikirkan ia adalah pencapaian terbaik dalam kerjaya nyanyian saya selama ini. Inilah yang dikatakan rezeki dan ketentuan yang saya percaya sejak dulu.
“Memegang pesan ayah sejak dulu, kerja keras dan usaha bagaimana sekali pun saya sebelum ini, jika tidak pernah ditetapkan itu adalah rezeki saya, ia tidak akan datang juga. Dan kini rasanya Tuhan mendengar doa saya dan akhirnya impian itu terjawab juga apabila saya diberikan peluang menjadi juara walaupun wakil lain tidak kurang hebatnya.
“Bagaimanapun apa yang lebih penting adalah peluang dan pengalaman yang saya miliki sepanjang menyertai pertandingan ini. Ia jelas memberikan saya perspektif baru dan dimensi yang jauh lebih segar untuk menjadi seorang penyanyi juga penghibur yang baik,” katanya lagi.
Jika ramai yang masih tidak mengerti, Shila berjaya melepasi kesemua cabaran yang diberikan dalam pertandingan yang memasang objektif mencari penyanyi terbaik di peringkat Asia bagi diletak menjadi ikon.
Julung kalinya dianjurkan, Asian Wave 2012 disenaraikan sebagai program televisyen yang paling ramai mendapat sambutan apabila lebih dua bilion penonton menyaksikan pertandingan itu.
Bukan sekadar menewaskan 60 penyanyi lain yang mendaftar, malah lebih membanggakan lagi, gadis jelita yang boleh berbahasa Inggeris dengan baik dan memahami bahasa Cina selepas menerima pendidikan bahasa itu lebih lima tahun ketika zaman persekolahannya itu turut dijulang tinggi oleh kesemua barisan juri.
Shila menerima jolokan ‘superstar’ oleh penyanyi terkenal juga juri, Eric Moo selepas berjaya membuatkan seluruh dewan bersorak untuknya dengan menyampaikan tiga lagu di malam kemuncaknya termasuk Gemilang nyanyian asal Jaclyn Victor, Grenade (Bruno Mars) dan sebuah lagu berbahasa Cina, Zheng Fu yang dipopularkan penyanyi tersohor Na Ying.
Tatkala pusingan separuh akhir lagi, Shila menyampaikan lagu popular nyanyian Adele, Set Fire to The Rain dan Forever Love (Wang Lee Hom), seluruh dewan sudah tertumpu padanya.
Selain trofi kemenangan juara Asian Wave yang tidak henti dibelek teman media dan peminat-peminat setianya yang menanti di KLIA itu, anak sulung empat beradik ini turut diberikan Dana Perkembangan Kerjaya sejumlah RM5 juta yang dikongsi sama dengan tempat kedua dan ketiga dalam pertandingan itu.
Malah lebih pentingnya ucap Shila, peluang untuknya menembusi pasaran China yang berpuluh ganda lebih luas dari Malaysia adalah keutamaannya ketika ini.
“Alhamdulillah saya diberikan banyak peluang termasuk kontrak dengan syarikat media terbesar di sana, Shanghai Media Group yang sudah pun berada di tangan saya. Cuma saya bersama keluarga mengambil masa untuk meneliti keseluruhan kandungan kontrak tersebut. Buat masa ini, pihak penganjur sudah pun mengatur beberapa perancangan buat saya.
“Dana Pembangunan Kerjaya itu lebih memberikan saya semangat kerana mereka membuka laluan buat saya membina nama di sana. Merakamkan album dalam bahasa Inggeris, Cina dan Melayu, mengadakan konsert dan persembahan jelajah seluruh China dan insya-Allah mereka juga akan menyusun strategi pemasaran untuk saya di sana.
“Jujurnya saya sangat gembira dan bersyukur kerana tidak mudah untuk kita menembusi pasaran besar mereka. Mungkin inilah permulaan buat saya dan doakan saja yang terbaik,” katanya yang mengakui sudah ramai penduduk di China yang mengenalinya selepas muncul dalam Asian Wave 2012.
Berkali-kali ucap Shila petang itu, dia begitu berterima kasih dengan sokongan semua pihak terutamanya peminat yang mendoakan dan memberi semangat. Malah ucapan tahniah dari Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak yang diterimanya dianggap satu penghargaan terbaik buat dirinya secara peribadi.
Shila yang juga naib juara program One In A Million musim kedua dipilih secara peribadi oleh Prism atas dasar kualiti vokalnya, kekuatan dan penampilan tersendiri dan paling penting, kesungguhan dan semangatnya.
Memetik kata Ong Peng Chu, pihaknya yakin yang mutu nyanyian Shila mampu mengangkat nama Malaysia ke satu fasa yang lebih baik kerana kredibiliti penyanyi muda ini konsisten walaupun peluang buatnya jarang sekali dibentang luas sebelum ini.
Terlanjur bertemu dengannya, persoalan mengenai kekasihnya juga pelakon terkenal, Sharnaaz Ahmad tidak terlepas ditanya. Jawabnya dengan senyuman tanpa ragu, sokongan dan doa teman istimewanya tidak pernah henti sepanjang perjuangannya di China lalu.
“Setiap hari Sharnaaz akan mesej bertanyakan keadaan dan persediaan saya di sana. Bukan saja semangat, malah dia juga yang banyak memberikan motivasi untuk saya terus kuat berdepan kesemua saingan,” katanya yang sempat membeli tudung di sana.
Sharnaaz bagaimanapun tidak sempat menjemputnya di lapangan terbang memandangkan terikat dengan komitmen penggambaran filem Darah Panas.
Sumber : Harian Metro Online
AR berkata: sekalung ucapan tahniah buat Shila Amzah kerana berjaya mengharumkan nama negara ke peringkat antarabangsa mengikuti jejak langkah artis senior sebelum ini seperti Dato' Siti Nurhaliza yang cukup terkenal dalam pasaran Asia..apapun semoga berjaya buat Shila yang kini dahpun berhijab, mungkin rezeki beliau mencurah - curah masuk kerana penghijrahan yang dilakukan itu...weeeeee~ :)
No comments:
Post a Comment