Penyanyi tersohor negara, Dato Siti Nurhaliza memecah rekod peribadi dengan penghasilan album Inggeris pertama beliau “All Your Love” yang secara rasminya dilancarkan pada 26 September 2011. ‘‘All Your Love” merupakan album solo ke- 14 Dato’ Siti Nurhaliza.
Album ini menjadi bukti hasil kerja keras beliau dengan adanya kolaborasi bersama penyanyi antarabangsa Sean Kingston yang begitu popular dengan lagu “Beautiful Girl“ dan “Fire Burning”. Juga dengan kerjasama hebat bersama Bryan B, penerbit dan What’s Up Entertainment yang bertanggungjawab menghasilkan album “All Your Love” ini yang diasaskan oleh Adib Khalid.
Bukan untuk menunjuk-nunjuk dan membuktikan apa-apa, tapi pembikinan album ini adalah untuk mengembangkan sayapnya ke luar negara.
“Saya bukan nak buktikan apa-apa kepada orang luar yang saya juga boleh mempunyai sebuah album Inggeris tetapi ia merupakan langkah baru dalam mengembangkan karier saya. Bagi saya, penghasilan album ini agak mencabar untuk membawa setiap lagu yang dinyanyikan serta penerimaan orang terhadap album ini. Alhamdulillah, walaupun album Inggeris agak baru buat saya, sekurang-kurangnya saya telah menambahkan peminat-peminat daripada pelbagai bangsa termasuklah mereka berbangsa Cina dan India.”
Dalam pada itu, kata Siti, walaupun membawa lagu Inggeris, dia tetap ingin menerapkan muzik Melayu dalam setiap lagu nyanyiannya.
“Saya percaya, jika penyanyi antarabangsa, Shakira boleh membawakan lagu Inggeris ala Latin, saya juga boleh berbuat demikian. Di mana saya membawakan lagu-lagu tersebut mengikut cara tersendiri dan tidak perlu terlalu mengikut cara nyanyian ala orang Barat.”
Hasil album ini juga terdiri barisan nama terkenal dalam industri hiburan antarabangsa seperti Richard Furch yang merupakan jurutera muzik pemenang Anugerah Grammy yang pernah menaikkan nama bintang antarabangsa seperti Prince, Outkast, Macy gray, Usher, Whitney Houston, Katherine McPhee, Fountains of Wayne, Gym Class Heroes dan banyak lagi. Turut menyumbang adalah Eddie Schreyer yang dikenali dengan hasil kerja beliau bersama Lady Gaga, System of a Down dan Kanye West.
Album yang memuatkan 10 lagu Inggeris ini memberi kelainan terhadap gaya nyanyian Dato’ Siti Nurhaliza. Ia memperlihatkan nuansa baru dalam melodi pop yang bercitarasa antarabangsa yang bakal membawa nama Dato’ Siti Nurhaliza ke arena pop antarabangsa
“Tajuk album All your Love ini didedikasikan kepada semua peminat, rakan-rakan dan keluarga yang banyak berkongsi kasih sayang mereka kepada Siti setelah sekian lama”, kata Dato Siti Nurhaliza. “Oleh kerana itu, Siti mahu buat mereka berasa bangga dengan terhasilnya album ini yang diharap dapat bersaing di pentas antarabangsa”
Sebagai seorang penyanyi yang amat dikagumi di persada nusantara, Dato’ Siti tidak asing dengan cabaran yang bakal dihadapi dengan album terbaru ini lebih-lebih lagi di pasaran global berdasarkan pengalaman di mana album keduanya telah berjaya memperkenalkan beliau ke peringkat antarabangsa di Indonesia.
“Ia adalah usaha Dato Siti sendiri untuk bergerak ke fasa terbaru di dalam kerjaya seni beliau” kata Adib Khalid, pengarah dan pengasas What’s Up Entertaiment, “dan saya percaya usaha beliau bakal berjaya dengan terhasilnya album Inggeris ini.” katanya ketika majlis pelancaran album ‘All Your Love’ di Shook Restaurant, Starhill Gallery hari ini.
Single pertama dari album ini yang bertajuk ‘’Falling In Love” sudahpun ke udara pada 16 Julai lalu dan ianya buat pertama kali dipersembahkan kepada umum ketika Malam Gala SimplySiti. Single tersebut menonjolkan susunan muzik yang rancak dan moden dengan alunan liriknya yang masih menampakkan stail dan lenggok Dato’ Siti tersendiri.
Seiring dengan kehadiran album terbaru “All Your Love” ini, Dato Siti tidak ketinggalan dengan melancarkan produk terbaru, Vogue dan Lovely Edition keluaran SimplySiti. Ia koleksi kosmetik yang menjadi solusi kepada keperluan dan keinginan para wanita Malaysia yang mencari gaya solekan sesuai untuk hari istimewa.
Selepas semua khabar angin yang telah melanda pada bulan Ramadan lepas mengenai status Halal SimplySiti, Dato’ Siti telah membuktikan dirinya sebagai seorang usahawan sebenar dengan tampil kehadapan menepis dan menegakkan kebenaran di sebalik khabar berita tersebut yang telah serba sedikit mengancam jenama kecantikkan miliknya.
“Siti sangat sedih dengan khabar angin yang melanda mencemar kredibiliti SimplySiti. SimplySiti telah menaruhkan banyak usaha, masa dan tenaga demi mementingkan produknya mendapatkan sijil Halal supaya pengguna dapat menggunakanya tanpa was-was, baik dari kandungan di dalam produk sehingga ke pemilihan kilang dan peralatan yang digunakan, kesemuanya amat dititikberat oleh SimplySiti supaya memenuhi piawaian yang dikehendaki oleh Jakim. Kami amat gembira apabila kami mendapat pengiktirafan Halal tersebut. Desas-desus itu adalah tidak benar, SimplySiti sentiasa memastikan produk-produk adalah Halal dan menepati standard yang telah ditetapkan.” Kata Dato’ Siti ketika diwawancara.
Memandang positif ke hadapan, Dato’ Siti meraikan kejayaan SimplySiti dan album terbaru beliau dengan sebuah majlis istimewa iaitu ‘Pelancaran album ‘All Your Love’ di Majlis Rumah Terbuka SimplySiti melalui kolaborasi menarik antara SimplySiti dan What’s Up Entertainment. Majlis itu turut dimeriahkan oleh penghibur terkenal Lan TypeWriter, Shila Hamzah, termasuk Ronnie dan Nahdira, iaitu dua penyanyi baru bernaung dibawah What’s Up Entertainment. Tidak ketinggalan persembahan esklusif oleh Dato’ Siti sendiri yang membawakan tiga buah lagu dari album terbaru beliau. Pada majlis itu juga ada dimuatkan sesi cabutan bertuah dan pemenang bertuah telah mendapat duit raya istimewa dari SimplySiti.
Kolaborasi dari dua syarikat ini tidak hanya untuk majlis tersebut, malah usahasama itu sudah dapat dilihat melalui iklan terbaru Vogue dan Lovely Edition keluaran SimplySiti yang disiarkan pada Hari Raya pertama yang lalu, dimana melodi lagu Inggeris terbaru Dato Siti bertajuk All Your Love digunakan sebagai lagu tema iklan tersebut menampilkan dua wajah baru Qalesha dan Nabiha bergandingan dengan Dato’ Siti. Turut menyumbang dalam iklan tersebut adalah melodi lagu Inggeris terbaru Dato’ Siti bertajuk “All Your Love”. Ia merupakan langkah yang diambil oleh Dato’ Siti sebagai seorang penghibur dan usahawan untuk menemukan dua syarikat berganding bersama dalam satu hasil kerja yang menarik.
Majlis Pelancaran Album “All Your Love” dan Rumah Terbuka SimplySiti diilhamkan dari album itu sendiri. Album yang mendapat sentuhan Andy Warhol ini menggunakan warna-warna ceria bertemakan pop art dengan potret wajah Dato’ Siti. Dengan menggunakan cover album yang ceria dan juga lirik-lirik lagu dalam album “All Your Love” ini menyerlahkan sisi berbeza persona Dato’ Siti yang belum pernah dilihat sebelum ini.
Album All Your Love yang memuatkan sebanyak 10 buah lagu iaitu All Your Love, Nobody Else, Tonight, All Over Again, I’ll Wait Forever, Falling In Love, I Cry Out, Fight For Love, Stand Up dan Remember You (menampilkan Sean Kingston) diterbitkan oleh syarikat milik anak tirinya Adib Khalid iaitu What’s Up Entertainment dan Siti Nurhaliza Production. Ia adalah edaran Warner Music Malaysia.
Sementara itu menurut Adib, pihak What’s Up sedang merangka strategi memasarkan album berkenaan ke peringkat antarabangsa.
“Kami tidak mahu membuat sesuatu perkara secara mendadak. Mula-mula, What’s Up akan fokus kepada pasaran di Malaysia dan tidak lama lagi ia akan berada di Indonesia pula diikuti dengan Singapura serta Brunei.
“Selepas itu kami akan memasarkan di negara-negara Asia dan barulah ke Eropah. Bagaimanapun semua itu masih lagi dalam perancangan,” ujarnya.
Peminat boleh mendapatkan album “All Your Love” dipasaran dengan harga RM 29.90 dan untuk anda yang mahukan set kosmetik terbaru, boleh dapatkan Lovely & Vogue Edition di pasaran sekarang.
Untuk maklumat lanjut, layari www.simplysiti.com.my atau Facebook SimplySiti atau dapatkan info terbaru tentang album “All Your Love” keluaran What’s Up Entertainmnet di www.wue.com.my.
P/S : Apapun semoga terhibur dengan MV terbaru Dato' Siti Nurhaliza berkonsepkan "flash mob" untuk lagu Falling In Love ni ok!! janji hepi...weeeeeeeeeee~
Sumber : Budiey.com
No comments:
Post a Comment