“JURANG dua gol bukan terlalu sukar dan saya yakin skuad negara mampu bangkit dan mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2014,” kata jurulatih Negeri Sembilan, Mohd Azraai Khor Abdullah mengenai peluang skuad negara dalam perlawanan timbal balik di Stadium Nasional Bukit Jalil, Khamis ini.
Bekas jurulatih skuad Harimau Muda A itu berkata, kekalahan 5-3 kepada Singapura di Stadium Jalan Besar kelmarin, mampu ditebus sekiranya Harimau Malaya kembali mengamalkan corak permainan sebenar dan memperbaiki segala kelemahan, terutama barisan benteng yang masih goyah.
Menurut Azraai, faktor padang tiruan menjadi antara penyebab utama skuad bimbingan Datuk K Rajagobal gagal mempamerkan aksi sebenar tetapi dia yakin pemain negara mampu kembali menampilkan aksi cemerlang apabila beraksi di depan penyokong sendiri dan di atas padang rumput.
“Berdasarkan pengalaman dan pemerhatian saya, memang banyak pasukan berdepan masalah setiap kali beraksi di padang tiruan di Singapura itu yang sememangnya sentiasa memberi kelebihan kepada tuan rumah,” katanya yang meramalkan Harimau Malaya akan menang 2-0 di Bukit Jalil.
“Saya sendiri pernah menempuh keadaan itu dalam saingan Piala AFC yang mana pasukan bimbingan saya kalah teruk di Singapura tetapi menewaskan lawan dengan jaringan besar apabila beraksi di laman sendiri.”
Jurulatih Selangor, K Devan turut menyuarakan keyakinan skuad negara akan bangkit menebus kehampaan pada perlawanan timbal balik nanti.
Devan berkata, apa yang perlu dilakukan skuad Rajagobal ialah memperkemaskan benteng pertahanan yang kelihatan agak longgar dalam perlawanan pertama itu sambil cuba memburu gol awal pada saingan di Bukit Jalil nanti untuk membuat lawan tertekan.
“Mereka juga harus elakkan memberikan sepakan percuma kepada lawan di depan kotak penalti kerana dua gol Singapura semalam (kelmarin) dihasilkan menerusi sepakan percuma di luar kotak penalti,” katanya.
Jurulatih Perak, Norizan Bakar berpendapat Rajagobal tentunya sudah mengenal pasti punca kekalahan di Singapura dan akan melakukan yang terbaik bagi memastikan kemenangan memihak skuad negara dalam perlawanan timbal balik itu.
“Jurulatih lebih mengetahui kekuatan dan kelemahan dalam skuadnya, tentunya dia akan berusaha tingkatkan lagi kekuatan yang ada dan memperbaiki segala kelemahan,” kata bekas jurulatih kebangsaan 2005-2007 dan skuad B-23 2005-2006 itu.
Sumber : Berita Harian Online
P/S : Sekali lagi Safee Sali menjadi penyelamat keadaan...tapi pelik dan rasa kelakar bila melihat Malaysia beraksi di atas padang rumput tiruan..plastik sangat tu...lagipun Singapura bermain dengan pemain import dan Malaysia sememangnya menggunakan anak jati tempatan untuk bersaing..itu yang harus dipuji pada pasukan kebangsaan kita..semoga Stadium Nasional Bukit Jalil yang berkapasiti lebih 100, 000 orang itu berjaya menggoyahkan semangat "Singa" dan dibaham oleh "Harimau"!! weeeeeeeeeee~
No comments:
Post a Comment